Tuesday, September 27, 2005

LAMPU JALAN TAMAN BANDAR AMANJAYA ROSAK

Lampu Jalan bagi jalan masuk ke Bandar Amanjaya didapati rosak dan tidak menyala di waktu malam. Kerosakan ini berlaku semenjak 18 Jun 2005 yang lalu. Sebelum ini sebahagian sahaja lampu jalan yang berfungsi, sementara kebanyakan lampu-lampu di sekitar Taman Bandar Amanjaya tidak berfungsi.

Penduduk-penduduk Taman Bandar Amanjaya amat berharap supaya pihak Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dapat mengambil tindakan segera membuat penyelenggaraan ke atas lampu-lampu jalan yang rosak ini. Ini adalah untuk mengelakkan daripada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku kerana disebelah malam jalan-jalan menjadi gelap. Penduduk Taman Bandar Amanjaya amat bimbang dengan keadaan ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Zon Anggerik Bandar Amanjaya telah membuat aduan terhadap perkara ini kepada pihak MPSPK tapi sehingga sekarang masih belum diambil tindakan.
Untuk makluman juga lampu-lampu jalan disepanjang jalan ke Taman Kelisa (Kawasan Tapak Pasar Malam) Taman Bandar Amanjaya juga didapati tidak berfungsi.

Sunday, September 18, 2005

Penubuhan Rukun Tetangga

Pada 17 September 2005 telah diadakan Perjumpaan diantara Penduduk Anggerik 4 dengan Pegawai Perpaduan untuk menubuhkan Rukun Tetangga di Taman Bandar Aman Jaya. Perjumpaan ini dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Anggerik 4 dan dihadiri 90 orang ahli.

Friday, September 02, 2005

PERANAN PERKHIDMATAN

PERANAN PERKHIDMATAN AWAM MENGISI KEMERDEKAAN

Oleh Azlinariah Abdullah (Wartawan Utusan)

KEHIDUPAN manusia itu bermula daripada semasa berada di dalam rahim. Semasa di dalam kandungan, ibu akan membawa anaknya ke klinik atau hospital bagi tujuan pemeriksaan demi memastikan keselamatan amanah Allah itu.

Orang yang perlu ditemui pastinya doktor atau jururawat. Malahan, apabila jatuh sakit sekali sekala, kumpulan ini juga menjadi `rujukan' bagi membolehkan kita segar kembali.

Dalam menyempurnakan putaran kehidupan itu pula sudah pasti kita ke sekolah dan bekerja serta berurusan dengan individu yang berkaitan untuk tujuan berkenaan.

Sehingga menemui ajal sekalipun, kita barangkali tidak terlepas daripada bergantung kepada khidmat doktor, polis atau imam.

Imam digunakan untuk tujuan membacakan talkin, doa dan sebagainya.

Bermula kehidupan sehingga kematian, hanya ada satu kumpulan sahaja yang memikul peranan itu semua.

Jururawat, doktor, polis dan imam adalah sebahagian daripada anggota penjawat awam. Dengan kata lain mereka bertugas dalam perkhidmatan awam untuk menyumbang peranan demi kita semua.

``Apa lagi analogi yang tepat bagi melambangkan peranan mereka kalau bukan ia bermula daripada rahim sehingga ke liang lahad from womb to tomb.

``Kadangkala kita bukan lupa, cuma bersikap ambil mudah dengan apa yang telah mereka berikan kepada negara dan kita semua sebagai penghuni tanah air tercinta,'' kata Ketua Pengarah Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Yaacob Hussin semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut beliau, penjelasannya cukup mudah; keamanan yang dicapai hari ini diakui merupakan warisan generasi terdahulu. Tetapi peranan yang dimainkan anggota keselamatan seperti polis dan tentera membantu mengekalkan keamanan, harta kita semua yang tidak boleh ditukar ganti dengan barangan mahal lain.

Lupakan sebentar soal remeh dan sisi negatif tentang kakitangan awam seperti ada di kalangan anggota yang tidak senyum ketika berurusan dengan pelanggan, wujud banyak kerenah birokrasi dan sebagainya.

Kita banggakan diri sendiri pula kerana memiliki gabungan eksekutif dan teknokrat yang mantap sekali gus melahirkan pelbagai program pemodenan pentadbiran awam sejak negara mencapai kemerdekaan.

Menyelusur kembali pembaharuan-pembaharuan itu kata Yaacob, ia bermula dengan usaha dalam tahun 1960-an dan 1970-an untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam ke arah melaksanakan agenda pembangunan negara yang baru merdeka.

``Peringkat ini antara lain memperlihatkan lahirnya institusi awam seperti MAMPU, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

``Objektif unit-unit ini ialah membantu kerajaan mencapai matlamat pembangunan melalui sistem pentadbiran yang cekap dan mantap,'' kata beliau.

Menurut beliau, sejak itu, pelbagai program pembaharuan terus diperkenalkan satu demi satu dalam usaha melahirkan perkhidmatan awam yang cemerlang.

Bagaimanapun, pada awal tahun 1980-an, ia lebih menjurus kepada perubahan sikap dan nilai bagi membina perkhid-matan yang berdisiplin serta telus.

Justeru, sistem kad perakam waktu diperkenalkan, disusuli Kempen Bersih Cekap Amanah; pelaksanaan Dasar Pandang ke Timur; Kepimpinan Melalui Teladan dan gerakan memantapkan keutuhan pengurusan kerajaan.

Inisiatif pemodenan tadbiran kerajaan seterusnya ditumpukan kepada usaha-usaha mempermudahkan sistem dan prosedur kerja.

``Dalam aspek ini, manual prosedur kerja dan fail meja diwujudkan sebagai dokumen rujukan peringkat jabatan yang harus diikuti kakitangan bertanggungjawab.

``Pejabat pelan terbuka diperkenalkan bagi mengatasi hambatan ruang pejabat yang amat terbatas. Penubuhan Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) digalakkan bagi mencari idea baru ke arah memudahkan sistem dan peraturan kerja.''

Dalam pelaksanaan utusan seharian, perkhidmatan awam sentiasa berhadapan dengan orang ramai.

Sejajar dengan itu, usaha melahirkan sebuah perkhidmatan awam yang berorientasikan pelanggan sentiasa dititikberatkan, ujar Yaacob lagi.

Ini dapat dilihat dengan usaha penubuhan pusat bayaran bil setempat, pusat perkhidmatan setempat dan pusat perlesenan setempat yang bertujuan menambah baik kualiti perkhidmatan awam.

Pelbagai program yang berteraskan pengurusan kualiti kemudiannya diperkenalkan.

Ia disemarakkan dengan pelancaran Gerakan Budaya Kerja Cemerlang pada tahun 1989 dan diperkukuhkan dengan pengedaran Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) untuk dijadikan panduan.

Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM), Pengukuran Produktiviti, Kempen Pembersihan Tunggakan Kerja dan Penandaarasan, Inovasi dan Standard MS ISO 900 adalah antara program yang dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, setiap agensi kerajaan juga dikehendaki memberi jaminan tentang perkhidmatannya menerusi Piagam Pelanggan serta mempamerkan carta aliran kerja bagi sesuatu perkhidmatan untuk kemudahan pelanggan.

Kaunter perkhidmatan pelanggan yang menjadi barisan setiap agensi kerajaan dipastikan mempunyai petugas cekap dan mampu memberikan layanan mesra pelanggan.

Memastikan

Sebagai usaha mengukuhkan perkhidmatan kaunter, agensi kerajaan turut digalakkan mewujudkan Pejabat Perkhidmatan Pelanggan.

Dan, bagi memastikan jentera pentadbiran sentiasa melaksanakan tugasnya dengan cekap dan berkesan, Pasukan Inspektorat membuat lawatan ke agensi-agensi kerajaan secara berkala.

``Dalam hal ini, agensi yang menghadapi masalah akan dibantu bagi membolehkan mereka benar-benar dapat menyampaikan perkhidmatan berkualiti,'' kata Ketua Pengarah MAMPU lagi.

Sementara itu, beliau berkata, kejayaan pembangunan negara yang sama-sama kita nikmati sekarang juga bergantung kepada kerjasama erat di antara sektor awam dan swasta.

``Hubungan dan kerjasama erat di antara kedua-duanya diperkukuhkan menerusi Dasar Persyarikatan Malaysia.

``Kaitan yang mudah untuk kita buat ialah sektor swasta merupakan tunggak jentera pertumbuhan ekonomi manakala sektor awam pula rakan kongsi yang menyediakan rangka kerja dasar serta menentukan arah haluan bagi membolehkan sektor swasta melaksanakan peranan mereka dengan berkesan.''

Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) masa kini pula, perkhidmatan awam dengan berani mempelopori pembangunan teknologi ini bagi membantu negara mencapai mercu yang lebih tinggi.

Agenda Teknologi Maklumat Negara atau ringkasnya NITA digubal dan Koridor Raya Multimedia (MSC) turut dilancarkan bagi memperoleh faedah daripada ledakan serta perkembangan ICT.

Beberapa inisiatif ICT lain turut dibangunkan bagi menyokong usaha meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pentadbiran awam.

Antaranya termasuk Program Perkongsian Pintar Antara Agensi-Agensi Kerajaan Dalam Bidang ICT, Kamus Data Sektor Awam, Pelan ICT Sektor Awam dan Penggubalan Undang-Undang Siber selain Dasar Keselamatan ICT Kerajaan.

``Inilah antara pembaharuan yang telah diperkenalkan sebagai usaha melahirkan perkhidmatan awam bertaraf dunia yang sentiasa peka kepada arus perubahan dalam mendukung wawasan negara menuju ke arah kecemerlangan.

``Tidak dapat tidak perkhidmatan awam Malaysia memainkan peranan kritikal dalam mendukung agenda pem-bangunan negara dan memastikan kemakmuran hasil daripada proses pembangunan dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat,'' katanya panjang lebar.

Esok kita akan meraikan Hari Kemerdekaan ke-48. Bahawa telah 48 tahun kita sebenarnya bebas dan aman daripada sebarang bentuk `penjajahan', amat wajar kita memberikan penghargaan kepada mereka yang telah memberikan itu semua kepada kita.

Negara tidak akan bebas dan aman jika ada gangguan keselamatan, seperti insiden keganasan dan bom di sana sini. Itu dalam konteks yang luas. Dalam skop yang mudah pula, kita selama ini tidur lena kerana ada `orang' yang menjaga di perbatasan, perairan dan keselamatan negara.

Selebihnya, negara aman menjadikan kita - sama ada kakitangan awam atau swasta boleh bangun pagi dan sama-sama memberi makna kepada setiap tarikh 31 Ogos.


Utusan Malaysia 30/8/2005